Firman Allah SWT ,
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan) ?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”.( Surah al-‘Ankabut : 3)
Ibarat mereka yang menduduki peperiksaan akademik, tentu ada yang lulus dan gagal dalam peperiksaannya. Demikian juga ujian Allah SWT, ada yang berjaya melulusinya dan ada yang gagal melepasinya.
Bagi mereka yang lulus peperiksaan akademik, mereka akan ditawarkan ke universiti untuk belajar bersama orang-orang yang bijak dan pandai. Sama juga jika seseorang itu berjaya dalam menghadapi ujian Allah SWT, mereka akan diganjari syurga tempat golongan yang baik-baik di akhirat kelak.
Ujian yang Allah SWT turunkan kepada manusia wujud dalam pelbagai keadaan. Ada yang berbentuk ketakutan terhadap musuh (dalam peperangan), kelaparan, kemiskinan, kekurangan harta dan kehilangan jiwa orang-orang yang tersayang.
Firman Allah SWT,
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. (Surah al-Baqarah : 155)
Allah SWT juga menguji manusia bukan untuk menganiayai manusia. Dia menguji manusia untuk melihat sejauh mana kesabaran manusia. Kesabaran adalah penting untuk mencapai kejayaan. Tanpa kesabaran hidup manusia akan huru hara dengan segala kepincangan. Tanpa kesabaran segala-galanya mahu dilakukan dengan segera, cepat, gelojoh, rakus sehingga menimbulkan bencana dalam kehidupan. Hanya mereka yang memiliki kesabaran pasti akan beroleh kejayaan, kesejahteraan, kebahagiaan dan menghasilkan kerja-kerja yang berkualiti.
Allah SWT menguji manusia supaya mereka sedar bahawa dunia dan segala kekayaannya adalah milik Allah SWT yang mutlak. Jika Dia mengurniakan harta kekayaan, ia bukanlah sesuatu yang kekal untuk dimiliki oleh manusia selama-lamanya. Sebaliknya ia adalah milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia hanya sementara dan boleh diambil oleh-Nya pada bila-bila masa tanpa sebarang notis.
Ia juga menyedarkan manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, dhaif, serba kekurangan dan amat memerlukan pertolongan daripada Tuhan yang Maha Perkasa.
Perlu disedari bahawa setiap ujian yang Allah SWT beri adalah sesuai dengan batas kemampuan manusia itu sendiri. Allah SWT yang Maha Mengetahui sifat kekurangan manusia sama sekali tidak menurunkan ujian yang manusia tidak boleh menghadapinya.
Firman Allah SWT,
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..”(Surah al-Baqarah : 286)
Oleh itu apa sahaja ujian sama ada kemiskinan, kesusahan, kesakitan dan kematian adalah sesuatu yang boleh ditanggung dan dihadapi oleh manusia. Bagi mereka yang beriman ujian-ujian seperti ini memberi motivasi kepada mereka untuk meningkatkan amal, memantapkan iman, menguatkan akidah, tidak berputus asa serta sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan Allah SWT.
Orang yang beriman hendaklah bersangka baik dengan setiap ujian yang mereka perolehi kerana ia sebenarnya telah ditentukan oleh-Nya sejak azali lagi. Mereka hendaklah redha dan berlapang dada dengan ketetapan itu. Mungkin ada ujian itu tidak gemari oleh mereka tetapi itulah yang terbaik di sisi Allah SWT.
Firman-Nya,
“....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan soleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” ( Surah al-Baqarah:216)
Sabda Rasulullah SAW,
“Tidak ada seorang muslim pun yang mengalami penderitaan, kepenatan, kesakitan, kesulitan, kesedihan dan kebimbangan yang merunsingkannya melainkan dihapuskan sebahagian daripada kejahatannya”. (Hadis riwayat Muslim)
FootNote ~ Hidup kita ni pon memang sebuah bilik darjah yang luas...
0 EDITOR COMPLAINING:
Post a Comment
DON'T LET THE NOISE OF OTHER OPINIONS DROWN OUT YOUR OWN INNER VOICE AND MOST IMPORTANTLY, HAVE THE COURAGE TO FOLLOW YOUR HEART AND INTUITION ™