Bertanya Kepada Ahli Ilmu Jika Tidak Tahu
Allah swt mengajar kita supaya beradab dalam menimba ilmu iaitu kita tidak boleh memandai-mandai menafsirkan sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu, Allah swt menyarankan kita supaya bertanya kepada pakar-pakar ilmu jika kita tidak faham atau tidak tahu tentang sesuatu perkara seperti firmanNya yang bermaksud;
“…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui” (Al-Anbiya’: 7)
Dari ayat ini dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa, jika kita tidak faham sesuatu permasalahan semasa membaca buku, keliru atau ingin kepastian lanjut, maka ketika itu, seharusnya kita bertanya kepada orang yang tahu iaitu pakar-pakar dalam bidang yang dibaca ataupun orang yang tahu permasalahan tersebut.
Anjuran Berkata “Allah lebih mengetahui” (Allahu A’lam)
Salah satu dari tuntutan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah mengatakan “Allah lebih mengetahui” dalam perkara-perkara yang tidak jelas kepada kita. Inilah tuntutan disiplin ilmu dalam Islam. Kita hanya boleh berkata dalam ruang lingkup yang kita tahu sahaja, sebaliknya jika kita tidak tahu hendaklah kita mengatakan Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui) dan berdiam diri dari menambah-nambah perkara yang dia tidak tahu.
Pernah sekali Imam Malik r.h didatangi oleh seorang lelaki untuk bertanya kepadanya tentang empat puluh persoalan. Akan tetapi beliau hanya menjawab empat daripada empat puluh persoalan tersebut. Selebihnya beliau menyatakan “Saya tidak tahu”. Sehingga lelaki yang bertanya itu mengatakan, “Saya datang dari negeri yang jauh dengan tungganganku dan anda hanya mengatakan ‘Saya tidak tahu’
Imam Malik lalu berkata “Naikilah tungganganmu, dan kembalilah ke negeri asalmu dan katakanlah “Saya telah bertanya kepada Malik, dan dia hanya mengatakan “Saya tidak tahu”.
Demikian juga Nabi saw, apabila ditanya sesuatu yang belum diturunkan wahyu kepadanya, beliau akan menunggu sehingga ada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepadanya.
Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pedengaran, penglihatan dan hati semua itu akan diminta petanggungajawabannya” (Al-Isra’ :36)
Oleh itu, kepada para pembaca. Marilah kita menuntut ilmu terutamanya ilmu berkaitan dengan agama. Yang dikatakan agama itu adalah al-Quran dan As-Sunnah.
Sumber mendapatkan ilmu itu ada pelbagai. Melalui kuliah agama di masjid secara bertalaqi, mendengar mp3 atau pun rakaman video, malah melalui pembacaan. Semua memberi manfaat kepada kita semua.
Usah takut untuk membaca, kerana membaca itu adalah kunci ilmu. Kejayaan sesuatu tamadun adalah kerana tingginya budaya membaca dalam masyarakatnya. Yang penting, kita mestilah mengikuti adab dan disiplin dalam menuntut ilmu.
FootNote ~ Semoga Allah mengampuni kesilapan kita semua atas kejahilan kita yang terdahulu. Semoga bermanfaat. Wallahua’lam.
0 EDITOR COMPLAINING:
Post a Comment
DON'T LET THE NOISE OF OTHER OPINIONS DROWN OUT YOUR OWN INNER VOICE AND MOST IMPORTANTLY, HAVE THE COURAGE TO FOLLOW YOUR HEART AND INTUITION ™